Program Pusat Ekonomi Digital

Buat julung kalinya, Pusat Ekonomi Digital Tasek Permai telah menjayakan satu program bersama komuniti setempat pada 19 Disember 2015. Tidak disangka, program pertama kali ini berjaya menarik ramai komuniti setempat untuk menghadirkan diri dan turut serta dalam pelbagai acara yang dianjurkan. Antara aktiviti yang boleh disertai oleh mereka ialah pertandingan mengutip getah menggunakan lidi, pertandingan baling bola ping pong ke dalam cawan, pertandingan “The Musical Chair” kutip gula-gula bagi kanak-kanak, pertandingan taip terpantas, pertandingan cari perkataan ICT, pertandingan powerpoint dan mewarna. Salah seorang belia yang bergiat aktif dalam pelbagai acara yang dianjurkan iaitu Cik Ilya Syarmimi Bt Mohd Fadlan yang berumur 19 tahun memberi galakan terhadap program yang dilaksanakan ini. Pencapaian beliau terhadap pertandingan yang dijalankan sangat memberangsangkan di mana beliau telah memenangi 2 kategori dalam pertandingan yang dijalankan iaitu pertandingan Powerpoint dan pertandingan Taip Terpantas. Beliau berpendapat program sebegini mendatangkan banyak faedah buat dirinya dan dapat mengisi masa yang terluang. Tambahan pula, dia berharap agar program seperti ini lebih banyak dijalankan supaya komuniti setempat dapat berjinak-jinak dengan dunia ICT.

 

Sumber: Cik Ilya Syarmimi Bt Mohd Fadlan, Belia Kg. Tersusun Tasek Permai

 

PROGRAM TRANSFORMASI JUNIOR KEMAS PARLIMEN GOPENG
 
Baru-baru ini Jabatan kemajuan Masyarakat (Kemas) telah menjalankan program Transformasi Junior Kemas Parlimen Gopeng pada 15 Disember 2015 (Selasa) bertempat di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Gopeng. Aktiviti ini telah disertai oleh penduduk kawasan Batu Gajah, Ipoh, Gopeng dan lain-lain lagi bagi memeriahkan program yang telah dianjurkan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya Chef Cilik iaitu membuat hiasan Cupcake dan Sandwich, Kraftangan iaitu membuat Kerongsang, Asas Photoshop bagi pelajar berumur 13 - 17 Tahun, Jahitan membuat Shawl, Pameran dan Jualan. Berdasarkan pengalaman salah seorang belia yang telah menyertai program ini iaitu Cik Rozifaziren, beliau berkata, “tidak rugi untuk melibatkan diri dengan aktiviti sebegini kerana banyak ilmu dan kemahiran baru dipelajari semasa aktiviti dijalankan”. Tambahan pula, beliau juga dapat menambah kenalan baru yang berbeza latar tempat tinggal serta merapatkan hubungan sesama rakan sebaya. Menurut pendapat Cik Rozifaziren, program sebegini perlu dianjurkan dengan lebih giat lagi supaya belia seperti beliau dapat mengasah bakat-bakat yang terpendam serta penambahan kemahiran untuk diaplikasikan selepas tamat belajar nanti. Pendedahan sebegini mampu membimbing belia untuk memilih kerjaya yang sesuai pada masa akan datang. Di samping itu juga, program yang dilaksanakan pada musim cuti persekolahan, mendatangkan faedah kepada beliau kerana dapat melakukan aktiviti yang memberi manfaat dan tidak membuang masa dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah.
 
 
Sumber: Cik Rozifaziren Binti Mohamed Anuar, Belia Kg. Tersusun Tasek Permai